Powered By Blogger

Wednesday, July 25, 2012



Apabila kita berpuasa, bau mulut kita menjadi kuat. Ini sesuatu yang sukar dielakkan. Allah tahu hakikat tersebut. Allah Maha Tahu bahawa bau tersebut terhasil kerana kita tidak makan dan minum sepanjang hari keranaNYA. Justeru itu, Nabi s.a.w bersabda: “Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Antara hadis yang tersangat daif yang digunakan dalam bab ini ialah dikatakan Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu berpuasa maka bersugilah pada waktu pagi dan jangan bersugi pada waktu petang”. Ia diriwayatkan oleh al-Bazzar, at-Tabarani dan lain-lain. Namun ia terlalu daif yang tidak boleh dijadikan hujah. Di samping di sana ada hadis daif lain namun lebih kuat ataupun kurang daif daripadanya iaitu diriwayatkan ‘Amir bin Rabi’ah berkata: “Aku melihat Rasulullah bersugi sedangkan beliau berpuasa” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Abu Daud dll).

Apapun galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan dalam hadis yang sahih adalah asas dalam amalan muslim. Ertinya, bersugi sentiasa digalakkan tanpa mengira samada puasa ataupun tidak. Nabi s.a.w dalam hadis sahih yang lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut: “Bersugi itu membersihkan mulut dan menjadikan Tuhan redha” (Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn Hibban dll).
(* dipetik dari kolum Dr Asri: Berpuasa tapi bersugilah)

No comments:

Post a Comment